Pendekatan Kemahiran Menulis

 Pendekatan Kemahiran Menulis

Kemahiran  menulis  merupakan  kemahiran  kognitif  yang  kompleks dan merupakan  tugas  mencabar  bagi  guru  dan  murid  ketika  sesi  pengajaran  dan pembelajaran. Dalam pengajaran  dan  pembelajaran  kemahiran menulis karangan, guru dan murid-murid perlu bekerjasama dan  memainkan  peranan  yang  sama  penting .  Dalam  situa si pengajaran  dan  pembelajaran  di  dalam  kelas, guru  bukan  sahaja berperanan sebagai pengajar tetapi juga  sebagai  pembimbing  dan  fasilitator bagi  mewujudkan  persekitaran kelas mengarang yang  kondusif.  Justeru ,  dalam  pengajaran kemahiran menulis karangan,  guru perlu mempelbagaikan pendekatan menulis berdasarkan keadaan dan kemampuan murid di kelas.

              Dalam pengajaran aspek-aspek bahasa termasuk pengajaran penulisan karangan sememangnya terdapat pelbagai pendekatan yang dapat diaplikasi. Sebenarnya tiada satu pendekatan, kaedah dan teknik yang paling sesuai digunakan untuk pelajar-pelajar di dalam bilik darjah, melainkan masing-masing perlu disesuaikan dengan topik penulisan yang hendak diajar. Ini bergantung kepada kebijaksanaan guru kerana yang penting ialah pelajar dapat turut serta dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di dalam bilik darjah. Pengajaran dan pembelajaran mestilah berpusatkan pelajar. Pelajar perlu berperanan sepenuhnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru hendaklah bertindak sebagai pemudah cara dalam membantu pelajar mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan tajuk yang akan diajar. 


                 Menurut Raimes, terdapat empat pendekatan yang boleh digunakan untuk pengajaran penulisan karangan. Pendekatan-pendekatan tersebut termasuklah pendekatan terkawal, pendekatan bebas, pendekatan pola – perenggan dan pendekatan komunikatif.                                                 

i.) Pendekatan terkawal

Pendekatan terkawal ialah pendekatan yang dirancang secara berurutan supaya murid-murid menguasai suatu unsur penulisan dan ketatabahasaan. Melalui pendekatan ini, guru dapat memandu dan mengawal pelajar daripada melakukan kesalahan. Murid-murid dikehendaki menyudahkan tugasan berdasarkan bahan serta mematuhi arahan-arahan yang ditetapkan. Pendekatan terkawal juga merupakan latihan penulisan yang isi kandungan dan bentuknya disediakan dan disudahkan murid berdasarkan arahan yang ditetapkan. Pada peringkat awal, guru mengawal secara menyeluruh. Namun begitu, pelajar masih diberikan kebebasan untuk memilih perbendaharaan kata atau struktur ayat mereka sendiri.

             Sebagai contoh, bentuk-bentuk kawalan yang diberikan oleh guru adalah dengan menyediakan sebuah penulisan yang menghendaki pelajar mengisi tempat-tempat kosong dengan perkataan yang sesuai; guru memberikan senarai frasa yang berkaitan dengan sesuatu topik dan pelajar perlu membina ayat untuk melengkapkan frasa; guru mengambil satu petikan yang menggambarkan sesuatu kejadian atau peristiwa kemudian pelajar disuruh menggambarkan semula keseluruhan pengalaman berdasarkan kejadian itu.

             Dalam pendekatan terkawal, pengajaran yang bersistem dan beransur-ansur; daripada kegiatan meniru hingga penulisan bebas. Guru sebagai pengawal akan merancang dan  menyediakan aktiviti-aktiviti secara berurutan dalam langkah pengajarannya supaya murid dapat menguasai sesuatu unsur  penulisan dan ketatabahasaan. Pendekatan ini menekankan ketepatan daripada kemahiran dan keaslian. Murid-murid dikehendaki  membuat latihan berdasarkan gambar serta mematuhi arahan-arahan yang diberikan. Penggunaan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel yakni boleh menerapkan pelbagai jenis karangan, boleh disesuaikan dengan peringkat kelas serta boleh merentas kurikulum.  

ii.) Pendekatan Pola-Perengganan

Perenggan merupakan satu kumpulan ayat tentang isi atau idea yang sama. Setiap kali perubahan sesuatu isi atau fokus berlaku, kita perlu memulakan perenggan baru. Pembinaan perenggan adalah penting untuk membahagikan isi yang ingin disampaikan dalam penulisan.

             Dalam pendekatan Pola-Perengganan, ciri-ciri pembentukan perenggan yang baik dalam sesebuah karangan diutamakan. Ini dapat melatih pelajar supaya berkeupayaan untuk memberikan pendapat dalam perenggan dengan kemas dan teratur. Selain itu, pendekatan ini juga dapat membantu pelajar mengetahui cara-cara meringkaskan karangan dengan baik.

             Antara latihan yang dapat diaplikasikan dalam pendekatan Pola-Perengganan termasuklah seperti latihan mengkaji contoh-contoh perenggan yang baik dan menyusun ayat-ayat yang disediakan guru supaya membentuk sebuah karangan yang kemas yakni perenggan yang mengandungi ayat-ayat yang saling melengkapi bagi membentuk satu kesatuan.. Seterusnya, latihan untuk pelajar dalam mengenal pasti, memilih dan meninggalkan isi-isi untuk dimasukkan dalam satu perenggan juga boleh dijalankan. Akhirnya, pelajar mencari isi penting dan dan meninggalkan isi-isi untuk dimasukkan dalam satu perenggan.

  iii.) Pendekatan bebas

Pendekatan ini memberi kebebasan kepada pelajar untuk menyuarakan pendapat mereka tentang sesuatu topik penulisan. Pendekatan ini hanya dapat dilakukan apabila pelajar sudah boleh menguasai bahasa dengan baik. Ini  bermakna guru memberikan tajuk yang umum dan pelajar akan menumpukan perhatian mereka kepada apa yang hendak ditulis dan bukan lagi menumpukan bagaimana untuk menulisnya. Oleh itu, guru lebih banyak bertindak selaku pembimbing sambil menumpukan perhatiannya kepada isi dan kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh pelajar.

             Dalam pendekatan mengajar karangan yang berbentuk bebas, guru perlu memastikan bahawa pelajarnya mampu menguasai pengetahuan asas seperti jenis-jenis ayat, kelas-kelas kata dan tanda-tanda baca dengan sebaik dan sebanyak mungkin.  Dalam hal ini, guru perlu membimbing dan membantu pelajar di samping menekankan aspek penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM) dan aktiviti-aktiviti pengajaran yang berkesan termasuk faktor kekayaan perbendaharaan kata yang dimiliki pelajar, keupayaan mengatur dan memilih perkataan atau perbendaharaan kata yang betul dan pengekalan struktur ayat yang gramatis supaya karangan pelajar mengandungi kesalahan yang minima dan hasilkan karangan yang baik.

             Dalam pendekatan penulisan bebas, sebagai contohnya mengenai sesuatu tajuk penulisan umum, guru boleh menyediakan keratan-keratan akhbar dan majalah untuk ditunjukkan kepada pelajar. Aktiviti perbincangan dan sumbang saran (brainstorming) boleh dijalankan dimana murid dapat memberikan pendapat melalui aktiviti tersebut. Dengan cara ini pelajar akan lebih berminat, aktif dan dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan diri.

iv) Pendekatan Komunikatif

Pendekatan ini diasaskan oleh Dell Hymes yang antara lain menyatakan bahawa kecekapan komunikatif merupakan penguasaan bahasa secara naluri (instinc) yang dimiliki oleh seseorang penutur (pelajar) yakni keupayaan pelajar menggunakan dan memahami bahasa secara wajar dalam proses berkomunikasi dan berinteraksi dengan individu lain dan jalinannya dengan konteks sosial (Pg. Hj Mahmud, PL 4203).

             Pendekatan ini menegaskan bahawa seseorang yang sudah mempunyai pengetahuan tentang sturktur bahasa dan kebolehan membina ayat-ayat yang gramatis tidak bermakna dia sudah dapat berkomunikasi dengan baik dan berkesan memandangkan kecekapan berbahasa dan berkomunikasi itu juga menitikberatkan unsur-unsur lain yang boleh mempengaruhinya seperti aspek-aspek sosiolinguistik dan psikolinguistik.

             Sebagai latihan-latihan pendekatan ini, guru bolehlah menyediakan sebuah karangan untuk meminta pelajar mengisi tempat-tempat kosong dengan perkataan yang sesuai. Senarai frasa yang berkaitan dengan sesuatu tajuk diberikan dan pelajar perlu membuat ayat untuk melengkapkan frasa itu. Guru juga boleh mengambil satu petikan yang menggambarkan sesuatu kejadian atau peristiwa kemudian pelajar disuruh menggambarkan semula keseluruhan pengalaman berdasarkan kejadian itu. Ini dapat dikatakan bahawa pelajar menulis adalah untuk dibaca oleh orang lain atau masyarakat. Justeru, guru perlu memastikan dan menggalakkan pelajar menulis sama seperti dalam situasi kehidupan seharian mereka. Dalam hal ini, guru harus menyatakan kepada pelajar bahawa penulisan yang dihasilkan adalah untuk dinikmati oleh pembaca termasuk penulisan pelajar lain di dalam bilik darjah. Oleh itu, pendekatan ini membolehkan pelajar menggunakan bahasa yang sesuai untuk tujuan berkomunikasi termasuk dalam penulisan

Comments

Popular posts from this blog

Rancangan Pengajaran Harian KEMAHIRAN MENULIS

Penyediaan Bahan Bantu Mengajar (BBM)